Belina Shop

SIAPAKAH YANG WAJAR DIPIJAK SEBENARNYA

Akhbar Utusan hari ini menyiarkan di muka hadapan, tindakan beberapa orang pemimpin DAP termasuk Lim Kit Siang memijak gambar tiga ADUN Perak yang keluar parti dan menjadi bebas. Mereka marah kerana angkara tiga ADUN tersebut, kerajaan PR di Perak berjaya ditumbangkan. Setelah menggunakan berbagai cara, termasuk bersidang di bawah pokok, menderhaka pada Sultan Perak (Nizar kata 'Patek Mohon Derhaka') dan mencabarnya di mahkamah, akhirnya pemimpin DAP terpaksa pijak gambar ADUN tersebut untuk melepaskan geram.

Wajarkah perbuatan tersebut? Pada mereka sudah tentu wajar. Pada saya memang wajar kerana selama ini pun pemimpin DAP sering bertindak seperti tidak berakal dan tidak bermaruah. Di parlimen mereka sering berhujah bahawa rakyat mahukan perubahan politik. Mereka dengan bangga mengatakan, merekalah pejuang 'politik bermaruah'. Sebab itu kononnya mereka menang banyak kerusi dalam PRU ke 12.

Sepatutnya ahli ahli DAP memijak gambar pemimpin mereka seperti Lim Kit Siang. Merekalah yang bertanggungjawab dan memberi kepercayaan kepada YB Hee Yit Fong supaya bertanding di DUN Jelapang. Ini bermakna mereka cuai dan mungkin pilih kasih sehingga YB Hee terpilih sebagai calon. Di atas kecuaian dan salah pilih calon itu, maka Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng patut disalahkan. Oleh itu gambar mereka wajar dipijak. Bahkan Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng wajar memijak gambar mereka sendiri sebagai tanda kekesalan di atas kesilapan tersebut.

Di samping itu kenapa mereka tidak berani memijak gambar Anwar Ibrahim? Anwar Ibrahimlah yang memilih kedua dua wakil rakyat iaitu Kapten (B) Mohd Osman (Cangkat Jering) dan Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) sebagai calon PKR di kawasan tersebut. Sepatutnya mereka lebih marah kepada Anwar dengan kerenah wakil wakil rakyat daripada PKR yang letak jawatan dan menjadi bebas termasuk di tempat tempat lain yang mencemarkan imej Pakatan Rakyat. Oleh itu siapa yang tidak bermaruah? Tiga ADUN bebas itu atau pemimpin utama DAP dan PKR?

Bahkan belum tentu ketiga tiga ADUN itu tidak bermaruah. Mungkin kerana maruah politik, maka mereka bertindak keluar daripada parti dan menjadi ADUN bebas. Kebenarannya ada. Pembangkang kini dilanda berbagai isu. Contohnya di Pulau Pinang, mana maruah Lim Guan Eng apabila menyampaikan bantuan kepada rakyat miskin termasuk orang Islam yang di buat di dalam kawasan Tokong. Apakah tidak ada tempat lain. Kenapa beliau tidak sensitif.

Paling nyata di Selangor, Ronnie Liu (exco kerajaan Selangor) bertindak mengarahkan majlis perbandaran memulangkan balik arak arak yang dirampas. Orang PAS diam seribu bahasa. Akhirnya Dr. Hassan Ali (exco agama) pula disalahkan dan disoal siasat oleh jawatankuasa disiplin PAS kerana mempertikaikan peranan SELCAT. Mungkin orang PAS tidak tergamak memijak gambar pemimpin DAP? Tetapi kenapa tidak tergamak. Apakah kerana larangan agama, atau takut kehilangan DAP sebagai kawan politik atau memang tidak seberani dulu kerana ikut telunjuk Anwar Ibrahim.

Saya harap orang UMNO tidak melakukan perbuatan keji tersebut. Kita kena ikut teladan Datu Seri Najib sebagai Perdana Menteri yang sememangnya komited dengan politik baru yang lebih bermaruah. Sebab itu Perdana Menteri kata, Nik Aziz tidak perlu minta maaf kepada beliau. Beliau menyerahkan kepada rakyat untuk menilai. Rakyat yang akan menentukan siapa yang patut dihukum. Tidak perlu pijak pijak gambar.

Betapa bermaruahnya Perdana Menteri ialah apabila bersetuju memberikan wang ihsan kepada kerajaan Kelantan walaupun Kelantan tidak ada hak. Tidak ada hak kerana minyak tidak ditemui dalam perairan Kelantan. Ia ditemui di luar kawasan tiga batu nautika. Tetapi budi baik dan ihsan Perdana Menteri itu dibalas dengan doa yang tidak bermaruah.

Jadi siapakah yang mengamalkan politik tidak bermaruah. Marilah kita menyokong Dato Seri Najib sebagai Perdana Menteri yang serius, bersopan santun, bertimbang rasa, cepat responsif kepada setiap masalah dan tidak emosi menyuruh orang MEMIJAK MIJAK GAMBAR dan mendoakan orang Islam yang baik hati supaya dilaknat. Tetapi mungkin kita boleh membenarkan gambar Perdana Menteri Israel dipijak kerana beliau kejam dan sememangnya pengganas.

0 comments:

Post a Comment