Belina Shop

Melayu Rindukan Perpaduan


Gagasan kerajaan perpaduan yang dicadangkan oleh Pas adalah inisiatif siasah yang optimistik. Hakikat demikian kerana perpaduan siasah Melayu adalah teras kepada kemantapan siasah Malaysia. Bila siasah Melayu kembali intim, bagai aur dengan tebing, lenyaplah tindakan kelompok oportunis yang selama ini melukut di tepi gantang atau menangguk di air keruh.

Hati pemimpin besar UMNO dan Pas kini hampir bertaut untuk menyimpulkan talian abadi ini. Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak, bersikap terbuka terhadap konsep kerajaan berkenaan.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula menegaskan, partinya tidak akan menutup pintu rundingan dengan mana-mana pihak kerana ia merupakan satu tuntutan dalam Islam (Utusan Malaysia 8.6.2009).

Hadi juga yakin gagasan tersebut mampu menyelesaikan masalah negara. Katanya, gagasan ini juga adalah untuk kebaikan kita semua yang sekarang begitu rapuh dari segi perpaduan (Utusan Malaysia 6.6.2009).

Salehuddin Mohamed Nasir selaku wakil Pemuda Pas Selangor pula menyifatkan, gagasan tersebut adalah futuristik (Utusan Malaysia:7.6.2009).

Lantaran itu, gagasan berkenaan wajar disokong oleh orang Melayu yang selama ini merindui perpaduan tulen lagi abadi. Sokongan ini penting. Survival bangsa Melayu hanya dapat dikekalkan jika wujud kesatuan hati di antara sesama Melayu.

Bangsa Melayu juga hanya boleh terselamat jika kuat. Dan, hanyalah boleh kuat jika bersatu padu (Datuk Onn Jaafar, 1.3.1946).

Oleh sebab itu, seluruh orang Melayu wajar mengiringi usaha merealisasikan gagasan ini dengan jutaan doa dan harapan. Kelompok Melayu yang sinis wajar mengawal kenyataan serta tindakan masing-masing.

Cendekiawan Melayu perlu membantu proses mengartikulasikan gagasan ini dari segi roh, jiwa, semangat, falsafah dan formatnya supaya menjadi satu realiti yang pasti.

Pihak-pihak yang berhasrat untuk membangkang, insaflah bahawa gagasan ini adalah demi kepentingan Melayu yang kebelakangan ini diprovokasikan kesabarannya dan dihiris jiwanya oleh sesetengah elemen bukan Melayu.

Semua pihak wajar insaf. Kekuatan sesuatu bangsa bergantung kepada perpaduan. Kesediaan pemimpin parti-parti politik Melayu untuk bertemu dan bermusyawarah sudah lama ditunggu setelah pertarungan politik menjerumuskan masyarakat Melayu di negara ini ke gaung perpecahan yang membimbangkan (Mustapa Mohamed 2001:73).

Memang gagasan kerajaan perpaduan ini masih samar-samar. UMNO dan Pas, dengan bantuan intelektual Melayu, perlu menghalusi seluruh kaedah, konsep dan teori yang serasi. Mereka wajar merujuk kepada al-Quran dan Sunnah Nabi.

Mereka juga boleh melakukan kajian perbandingan berasaskan Theory of political coalitions (Willian Riker 1962), Hobbes's political theory (Deborah Baumgold 1988), Decision theory and decision behaviour: normative and descriptive approaches (Anatol Rapoport 1989), atau apa juga pandangan yang merujuk kepada gabungan serta kerjasama politik di seluruh dunia.

Banyak ruang yang perlu diterokai dan banyak aspek yang perlu dihalusi oleh UMNO dan Pas. Proses ini memerlukan kebijaksanaan dan kesabaran paling maksimum.

Pertama, adakah kerajaan perpaduan ini bermatlamat untuk melakukan satu koreksi total terhadap segala kepincangan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri supaya relevan dengan tuntunan zaman?

Kedua, adakah kerajaan perpaduan ini bertujuan untuk mendorong UMNO dan Pas supaya menjadi lebih dedikated, fokus dan sensitif kepada permasalahan pribumi Malaysia dalam konteks kemajmukan masyarakat negara ini?

Ketiga, adakah penubuhan kerajaan perpaduan ini memerlukan satu emansipasi serta perubahan struktur yang radikal dalam organisasi UMNO dan Pas? Mungkinkah konsep kerajaan berkenaan memerlukan UMNO dan Pas dibubar dan dijelmakan semula menerusi satu wadah, imej, fokus, keutamaan, aspirasi, falsafah serta kombinasi aktor perjuangan yang baru?

Keempat, adakah kerajaan perpaduan ini merupakan kerajaan gabungan yang longgar atau satu ikatan yang erat seperti yang diamalkan oleh Barisan Nasional (BN) sejak 1 Julai 1974?

Kelima, bagaimanakah reaksi komponen bukan Melayu dalam BN mengenai gagasan ini? Bagaimana pula respons rakan seperjuangan Pas dalam pakatan pembangkang mengenai gagasan yang sama?

Selain itu, wajar dipersetujui bentuk-bentuk manfaat, faedah dan ganjaran untuk semua pihak terbabit. Ini bukan soal remeh. Pengalaman di beberapa negara tertentu, soal-soal inilah yang lazimnya mencetuskan perbalahan antara komponen sesuatu gabungan sehingga menyebabkan keretakan dan perpecahan.

Dalam hal ini, UMNO, Pas dan BN wajar menyetujui prinsip-prinsip pembahagian kuasa di antara mereka. Contohnya, tidakkah Pas layak diberikan kerusi Timbalan Perdana Menteri Kedua? Kementerian manakah yang akan dikendalikan oleh menteri penuh daripada Pas?

Mungkinkah komponen BN akan mengizinkan UMNO dan Pas berperanan utama dalam mewujudkan pelbagai dasar sosio-ekonomi yang affirmatif dan lebih berorientasikan syarak? Apa pula ciri-ciri keseimbangan yang akan diwujudkan untuk mencerminkan kemajmukan Malaysia dalam konteks ini?

Sebagai strategi tempoh sederhana dan jangka panjang, UMNO dan Pas juga wajar mengemukakan satu garis panduan bersama mengenai sosialisasi dan integrasi siasah bagi seluruh anggota mereka di peringkat akar umbi.

Ini adalah untuk meleburkan sikap permusuhan siasah yang wujud selama ini supaya semangat ukhwah yang baru mampu ditransformasikan menjadi tenaga perjuangan yang jitu demi Islam dan Melayu.

Semua pandangan di atas hanyalah satu hipotesis. Bagaimanapun, ia adalah berdasarkan penelitian terhadap kegagalan gabungan UMNO dan Pas dalam BN sebelum ini.

Contohnya, antara faktor utama yang menggagalkan perpaduan UMNO-Pas dalam BN sebelum ini adalah percakaran siasah yang wujud daripada rasa tidak puas hati mengenai pembahagian kerusi dalam sesuatu pilihan raya umum, pembahagian kerusi dalam Kabinet, pembahagian jawatan di peringkat negeri dan daerah, serta pertembungan pengaruh politik di peringkat akar umbi.

Oleh itu, soal pengaruh politik dan soal manfaat, faedah dan ganjaran ini wajar dihalusi secara tuntas dan rinci. Soal-soal strategik membabitkan orientasi, fokus serta falsafah BN yang baru juga perlu dibereskan secara telus dan jujur.

Pada waktu yang sama, media dan lain-lain jentera pembentuk pendapat umum perlu difokuskan ke arah gagasan kerajaan perpaduan ini supaya kefahaman rakyat jelata dapat melicinkan lagi proses perundingan dan pembentukannya.

Seterusnya, orang UMNO, orang Pas dan seluruh orang Melayu wajar mengenang semula kenyataan Tun Razak Hussein mengenai kerjasama UMNO-Pas dalam BN 25 tahun lalu. Kata Razak, UMNO tidak menolak sebarang usaha penggabungan dengan Pas demi kepentingan negara dan kemajuan rakyat (Subky Latif 1976:76).

Presiden Pas ketika itu, Tan Sri Asri Muda, menjawab dengan positif. Katanya, Pas sedia menimbangkan kerjasama dengan UMNO sekiranya ia diadakan di peringkat Pusat dan Negeri. Bagaimanapun, Pas menyerahkan penubuhan kerajaan campuran itu kepada persetujuan kongres khas parti (Subky Latif 1976:77).

Kenyataan di atas membuktikan bahawa perpaduan UMNO dan Pas memang boleh diwujudkan jika terdapat iltizam politik di kalangan kepimpinan besarnya. Dalam konteks hari ini, Najib dan Hadi sudah pun membayangkan iltizam berkenaan.

Biarpun begitu, UMNO dan Pas perlu insaf. Jika mereka serius dalam perjuangannya untuk Melayu dan Islam, pastikanlah perjuangan itu adalah ikhlas, jujur dan bebas daripada percaturan politik kuasa.

Oleh kerana matlamat teras kerajaan perpaduan ini adalah cita-cita untuk "menyelesaikan masalah negara dan untuk kebaikan kita semua yang rapuh dari segi perpaduan," wajarlah cita-cita itu diperjuangkan secara cekap, konsisten dan menyeluruh.

Akhir sekali, renungkanlah pandangan Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa perpaduan di kalangan orang Melayu bukanlah satu perkara yang mudah. Sejarah membuktikan bahawa bangsa Melayu di Semenanjung dan gugusan pulau-pulau Melayu lebih mudah berpecah-belah daripada bersatu padu (2002:247).

Pandangan Mahathir ini relevan sekali untuk dihalusi kerana UMNO dan Pas pernah bersatu menerusi BN pada 1974 dan juga pernah berpisah beberapa tahun kemudiannya.

Oleh itu, jika dengan restu Allah SWT, gagasan kerajaan perpaduan kali ini menjadi realiti, pastikanlah kesilapan lama antara UMNO dan Pas tidak berulang lagi.

Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat (al-Quran, al-Hujuraat 49:10).

Datuk Ruhanie Ahmad ialah mantan Ahli

Parlimen Parit Sulong, Johor.

0 comments:

Post a Comment